ARAU: Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan terjatuh ke dalam parit di tepi bendang di Jalan Alor Redis, berhampiran sebuah hotel di Jejawi, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, Muhamad Shakir Abdul Jabar, 29, yang menaiki motosikal jenis Kawasaki Z800 datang dari arah Tambun Tulang menuju ke Jejawi.
Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Tok Pulau, Simpang Empat dipercayai itu terbabas dan terjatuh ke dalam parit tersebut.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Nanda Maarof berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat kemalangan tersebut dan siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kecuaian sendiri.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE