NIBONG TEBAL: Pemasangan lampu limpah bagi membolehkan sesi latihan bola sepak yang membabitkan Akademi Wira Muda (AWM) dijalankan pada sebelah malam memberi nafas baharu kepada akademi tersebut.
Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman berkata, dengan adanya kemudahan itu diharap dapat menaikkan semangat para pelatih AWM untuk meneruskan sesi latihan pada sebelah malam.
Mansor yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, apa yang penting pengurusan akademi itu perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dalam usaha mencegah Covid-19 selepas aktiviti berkenaan dibenarkan beroperasi semula untuk merancakkan semula sukan bola sepak tanah air.
“Saya yakin pembangunan sukan bola sepak khususnya di kawasan Nibong Tebal sangat berpotensi untuk menghasilkan pemain pelapis yang berkualiti dan dibawa ke peringkat lebih tinggi selepas ini,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE