Pelakon Ammar Alfian didenda RM3,500 cederakan pemandu, khianat van Pos Malaysia - Utusan Malaysia

Pelakon Ammar Alfian didenda RM3,500 cederakan pemandu, khianat van Pos Malaysia

AMMAR ALFIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Ammar Alfian didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan khianat dengan mengetuk pintu sebuah van Pos Malaysia menggunakan kayu besbol dan menumbuk pemandu van tersebut, April lalu.

Majistret S. Mageswary turut memerintahkan pelakon itu atau nama sebenarnya Ammar Alfian Aziz, 34, menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Bagi pertuduhan khianat, mahkamah menjatuhkan denda RM2,000 atau penjara sebulan. Bagi pertuduhan mencederakan, dia didenda RM1,500 atau penjara sebulan.

Lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan mengetuk pintu sebelah kanan kenderaan jenis Toyota Hiace milik Pos Malaysia Berhad menggunakan kayu besbol sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian RM777.

Pelakon filem Paskal itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Jalan Budiman 26/17A, Cheras di sini pada 1.45 petang, 5 April lalu.

Ammar Alfian didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pelakon itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Nur Aimin Mohd Noor, 31, pada waktu dan di tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-keduanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

“Tertuduh sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang awam kerana dia seorang artis yang dikenali ramai,” katanya.

Peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili Ammar Alfian memohon hukuman ringan atas alasan ia kesalahan pertama dan kerugian yang dialami hanya sekitar RM700.

“Mangsa juga hanya mengalami kecederaan ringan dan anak guam saya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN