ALOR SETAR: Seramai 360 pelajar di tiga kolej agama di bawah kelolaan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di negeri ini bukan setakat bakal bergelar al-Hafiz tetapi turut memiliki kemahiran dalam ilmu-ilmu pertahanan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, pelajar di tiga sekolah agama tersebut iaitu di dua Kolej Agama Sultan Abdul Halim di Jalan Suka Menanti dan Mergong serta Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Sik akan melaksanakan model Sekolah Watak Zakat Kedah secara pengurusan Kadet Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurutnya, LZNK telah menjalinkan kerjasama bersama APM bagi mewujudkan Sekolah Watak Zakat Kedat, Kadet Sekolah Pertahanan Awam (Kaspa) yang pertama di negara ini.
Katanya, melalui kerjasama itu, tiga buah sekolah tersebut yang dibangunkan LZNK akan diuruskan secara separa ‘regimental’ oleh Lembaga Pengurusan Sekolah Zakat Kedah (LEPSAZ) dan APM.
“Pelajar di ketiga-tiga sekolah tersebut akan diterapkan dengan nilai agama serta disiplin tinggi sepanjang tempoh pengajian, selain memiliki kemahiran tambahan berkaitan ilmu-ilmu menyelamat dan kecemasan.
“Konsepnya ala-ala Maktab Tentera Diraja (MTD) dengan para guru juga tidak lagi dipanggil sebagai cikgu sebaliknya bergelar ‘tuan’ atau ‘puan’ mengikut pangkat APM.
“Guru-guru ini akan dilatih supaya mereka pada satu masa nanti akan pula bergelar jurulatih untuk memberi didikan kepada pelajar dalam ilmu pertahanan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Sekolah Watak Kedah Zakat Kedah, Kaspa di Kolej Agama Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.
Majlis pelancaran tersebut dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.
Syeikh Zakaria memberitahu, selain ilmu kurikulum, pelajar di kolej tersebut yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima akan turut belajar menjadi ‘huffaz’.
“Apabila mereka dididik pula dengan ilmu dan silibus pertahanan awam oleh APM, perkara itu akan menjadi nilai tambah buat kehidupan anak-anak ini,” katanya.
Dalam pada itu, Roslan pula berkata, latihan kepada para guru dan pelajar di sekolah tersebut akan dikendalikan oleh APM Kedah terutamanya di daerah berdekatan.
“Mungkin buat masa sekarang mereka tidak boleh lagi menyertai misi-misi menyelamat yang berbahaya tetapi pada masa akan datang kita boleh libatkan mereka dengan misi-misi kemanusiaan bergantung kepada masa dan operasi sesuai,” ujarnya. – UTUSAN