Pelajar kaki bengkok perlu RM25,000 tampung pembedahan - Utusan Malaysia

Pelajar kaki bengkok perlu RM25,000 tampung pembedahan

MUHAMMAD Asri Yusof (kiri) menunjukkan kaki kanan Muhammad Adam Zakuan yang bengkok di Taman Desa Seri Molek, Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang pelajar, Muhammad Adam Zakuan Muhammad Asri, 14, yang menghidap penyakit Blount iaitu gangguan pertumbuhan pada tulang di sekeliling lutut merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan meluruskan kakinya.

Penyakit tersebut menyukarkan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Bugisiah Benut itu untuk berdiri, berjalan dan berlari kerana mengalami kesakitan serta ketidakstabilan atau penampilan bowlegged.

Bapanya, Muhammad Asri Yusof, 46, berkata, penyakit yang dialami oleh anaknya mula dikesan ketika Muhammad Adam Zakuan berada di tahun lima sebelum melakukan pembedahan tahun lalu.

Katanya, pembedahan tersebut bagi meletakkan plat besi dan skru namun selepas tujuh bulan keadaan anaknya tidak berubah malah bertambah sakit terutama ketika menaiki tangga di sekolah.

“Ketika mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), doktor menasihatkan supaya membuat pembedahan susulan dengan plat yang lebih besar bagi meluruskan kakinya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Desa Sri Molek, Batu 34, semalam.

Menurut Muhammad Asri, dia yang sebelum ini bekerja kilang dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan tidak dapat bekerja kerana menghidap paru-paru berkuman yang menyebabkannya cepat penat.

“Kini saya hanya membantu isteri, Hasrina Hashim, 42, menghantar kuih-muih yang ditempah pelanggan serta ke gerai di Taman Sri Aman” ujarnya.

Katanya, pihak HUKM telah meminta keluarganya menyediakan kos sebanyak RM19,000 bagi membeli plat besi lebih besar dan seterusnya menjalani pembedahan pada Januari ini.

Oleh itu, jelasnya, dia kini sedang berusaha bagi memenuhi kos rawatan tersebut yang dijangka sebanyak RM25,000 bagi membolehkan Muhammad Adam Zakuan belajar dengan lebih selesa di sekolah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam 01108029377745 atau menghubungi Hasrina di talian 019-9361908. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya