JOHOR BAHRU: Keseronokan sekumpulan individu yang melakukan aktiviti mendaki berakhir tragedi selepas salah seorang daripada mereka terjatuh ke tebing di Tasik Tiga Beradik, Plentong di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, seorang pelajar lelaki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Pasir Gudang dikhuatiri lemas di tasik berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.20 pagi menyatakan terdapat seorang lelaki dewasa berusia 20-an dipercayai lemas.
Beliau berkata, mangsa difahamkan bersama kira-kira 40 rakannya melakukan aktiviti riadah mendaki di kawasan tersebut.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa terjatuh ke dalam tasik dan lemas.
“Mangsa dipercayai melakukan aktiviti mendaki dikawasan tersebut. Ketika mereka ingin melintasi tasik dengan melalui tebing, mangsa telah terjatuh.
“Rakan mangsa cuba membantu dengan menariknya namun kehabisan tenaga dan pegangan tangan mangsa terlepas hingga menyebabkannya tenggelam ke dasar tasik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Saiful Bahri, selepas cubaan menyelamat gagal, salah seorang rakan mangsa kemudian menghubungi pihak bomba untuk memohon bantuan kecemasan.
Menurutnya, seramai 11 anggota dari BBP Johor Jaya dan Pasir Gudang ke lokasi bagi usaha mencari dan menyelamat yang masih dijalankan sehingga kini. – UTUSAN ONLINE