TAMPIN: Seorang pekerja kilang maut selepas beberapa jam terbabit dalam kemalangan di Jalan Felda Bukit Jalor, Gemencheh di sini, malam tadi.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa, Mohamad Sudiro Misran, 56, dikejarkan ke Hospital Melaka susulan mengalami kecederaan serius namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira pukul 9.03 malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab, pihaknya menerima makluman dari Hospital Melaka terdapat seorang lelaki yang maut akibat kemalangan.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda merupakan pekerja kilang kayu di Gemas yang dalam perjalanan balik ke rumah di Felda Bukit Jalor.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah terlanggar seekor haiwan melintas jalan dipercayai lembu. Akibat kemalangan itu, mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuwal berkata, mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987. – UTUSAN