Pekebun didakwa bunuh rakan - Utusan Malaysia

Pekebun didakwa bunuh rakan

S. ALPHONSUS (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, dua minggu lalu. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pekebun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, dua minggu lalu.

S. Alphonsus, 40, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Alphonsus didakwa dengan sengaja melakukan bunuh yang menyebabkan kematian R. Ravindran, 35, dengan menggunakan pisau di Jalan Persiaran Jelapang 18, Taman Silibin antara pukul 1 hingga 2 pagi, 4 November 2021.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Hannah Abd. Wahab manakala tertuduh diwakili peguam J. K. Kala.

Di mahkamah sama, tertuduh juga didakwa memasukkan dadah methamphetamine ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 11 malam,  6 November 2021.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

Mahkamah menetapkan 9 Februari depan bagi sebutan semula kedua-dua kes.

Terdahulu, tertuduh yang memakai seluar lokap berwarna jingga dan baju T hitam tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 10.13 pagi dan telah menunjukkan isyarat lucah jari hantu kepada petugas media.

Media pada 4 November lalu melaporkan, seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami kecederaan parah setelah ditikam di bahagian dada.

Mangsa yang dibawa rakannya ke Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN