PETALING JAYA : Kes yang berlaku kepada atlet lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menjadi pengajaran berguna buat Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) apabila memperkenalkan surat akujanji yang akan ditandatangani di antara pegawai yang bertugas.
Mereka yang melanggar akujanji berkenaan berdepan tindakan perundangan mengikut Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018.
Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pada sidang media berkata bahawa mana-mana pegawai yang bertugas akan dikenakan hukuman sekiranya melanggar akujanji tersebut selepas mengambil kira insiden yang berlaku terhadap Ziyad sebelum ini.
Surat itu diperkenalkan buat kali pertama kepada kontinjen yang akan ke Kejohanan Para Remaja Asia (AYPG) di Bahrain dari 2 Disember hingga 6 Disember ini.
“Mana-mana pegawai bakal berdepan kehilangan jawatan sekiranya melanggar akujanji. Selain itu antara hukuman yang boleh dikenakan adalah amaran dan menilai balik kontrak.
“Akujanji ini adalah yang pertama kali dibuat oleh MPM membabitkan senarai semak pergerakan yang perlu dilakukan sepanjang kejohanan dan perlu memaklumkan perkembangan setiap masa,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan surat akujanji itu pegawai perlu merancang dan menentukan segala pelan tindakan sepanjang bertanding di AYPG 2021 dan mereka perlu mematuhi segera peraturan kejohanan.
“Perkara ini akan melatih jurulatih menjadi lebih profesional. Kenapa jurulatih luar boleh, kita tidak boleh. Kita faham ada sesetengah atlet itu ada hubungan yang akrab dengan jurulatih. Tapi kita perlu profesional.
“Toleransi itu perlu namun atlet ini kadang-kadang terlebih manja dan itu boleh terjadi kes seperti itu (Ziyad). Jadi kita tak nak perkara itu berulang,” katanya.
Sementara itu Megat berkata, AYPG adalah kejohanan pertama yang akan disertai oleh atlet remaja para negara selepas dua tahun tanpa sebarang pertandingan.
Seramai 14 atlet akan mengibarkan cabaran membabitkan sukan olahraga, renang, boccia, badminton dan powerlifting dengan tiada sasaran pingat diletakkan.