BERA: Kerajaan menyediakan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh negara yang bertujuan memperkasa kegiatan ekonomi digital khususnya di luar bandar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bertujuan memberi kemudahan kepada 15.4 juta penduduk di negara ini terutama golongan B40.
Beliau berkata, PEDi bermatlamat meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti setempat dan memberi pendedahan kepada kemahiran digital agar semua penduduk, tanpa mengira kedudukan sosial mahupun geografi berupaya menyertai serta mengambil peluang dalam ekonomi digital.
“Sebanyak 873 PEDi sedia ada akan dipertingkat dan dipergiatkan sebagai pusat sehenti untuk aktiviti ekonomi digital luar bandar. Setiap PEDi dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital dan kakitangan terlatih bagi memberi perkhidmatan dan sokongan yang diperlukan oleh komuniti setempat.
“Selain itu, sebanyak 37 PEDi baharu akan dibuka pada suku pertama 2022, sementara sebanyak 173 PEDi lagi beroperasi menjelang penghujung tahun depan. Ini menjadikan sebanyak 1,083 PEDi beroperasi di seluruh negara.
“Di Bera sahaja, seramai 1,158 peserta yang telah mendaftar sebagai ahli PEDi dan menggunakan pusat ini untuk menghadiri kelas keusahawanan seperti asas fotografi dan cara pemasaran di Shopee serta Yezza.
“Seramai 48 usahawan dilatih di PEDi ini yang mana sebanyak 47 peratus adalah usahawan yang mengusahakan perniagaan makanan dan minuman, 42 peratus dalam fesyen dan gaya hidup dan antara lain adalah perkhidmatan, agro serta elektronik,” katanya ketika berucap melancarkan PEDi di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar, di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Ismail Sabri berkata, selain kemudahan infrastruktur, kerajaan yakin dengan adanya Panel Penasihat PEDi, Rakan Digital PEDi dan Usahawan Ikon di setiap PEDi menggalakkan komuniti setempat untuk melibatkan diri dalam aktiviti dianjurkan serta mengguna pakai sepenuhnya perkhidmatan di situ.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, fokus utama PEDi adalah melahirkan dan memperkasa usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing dengan sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang merupakan tonggak ekonomi negara.
“Pada akhir 2020, bilangan PMKS merangkumi hampir 1.2 juta, atau 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan. Sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan perlu diperkasakan setelah terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Kerajaan menyediakan galakan untuk memodenkan perniagaan dengan menerima guna teknologi termaju dan pendigitalan seterusnya membuka peluang kepada usahawan PMKS untuk menerokai pasaran dunia,” katanya.
Beliau berkata, PEDi menjadi sebuah pusat sehenti untuk mendekatkan usahawan kecil agar mesra terhadap ekonomi digital.
“Pelbagai program disediakan untuk membantu usahawan kecil memulakan perniagaan atau meningkatkan permintaan terhadap produk mereka.
“Adalah diharapkan usahawan kecil ini kemudian dapat mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik menggunakan akses talian dan platform e-dagang. Keupayaan usahawan kecil untuk mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi akan meningkatkan kecekapan dan seterusnya, memacu perniagaan dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN ONLINE