PDRM tubuh WCB banteras sindiket penyeludupan haiwan liar - Utusan Malaysia

PDRM tubuh WCB banteras sindiket penyeludupan haiwan liar

MAZLAN Lazim (kiri) menyerahkan replika kad senjata JKDM kepada Abdul Latif Abdul Kadir dalam sidang akhbar Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Tanjung Bungah, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) bagi menyiasat dan menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar di negara ini. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, unit berkenaan akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat dan kertas kerja mengenainya telah pun disiapkan dan unit berkenaan akan dianggotai oleh 50 anggota polis termasuk pegawai. 

Jelas beliau, unit itu akan menggunakan kepakaran yang ada dalam pasukan polis untuk membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menumpaskan sindiket yang mempunyai rangkaian penyeludupan hidupan liar. 

“Unit ini akan berpusat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan kita bercadang memohon sebanyak 50 perjawatan untuk anggota serta pegawai polis di dalam unit ini,” katanya ketika dalam sidang akhbar Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Tanjung Bungah, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan  Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir. 

Menurut Mazlan, polis juga akan menggunakan undang-undang sedia ada seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram  (AMLA) untuk menyita aset-aset yang dimiliki sindiket rangkaian penyeludupan hidupan liar itu. 

Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata, ketua-ketua sindiket penyeludupan haiwan liar itu kini berada dalam radar pemantauan pihaknya dan pihak polis. 

“Kita dapati ketua sindiket ini jumlahnya kurang 10 orang dan setakat ini mereka masih belum dapat ditahan. Namun, saya yakin dengan kerjasama polis dan JKDM, ketua sindiket penyeludupan haiwan liar ini akan dapat ditahan,” katanya. 

Tambahnya, hidupan liar seperti tenggiling merupakan antara haiwan yang sering diseludup masuk ke negara ini yang mana tahun lalu sebanyak dua tan haiwan berkenaan telah dirampas. 

“Menerusi OBK kami mendapati negara ini menjadi transit bagi beberapa hidupan liar terutama tenggiling yang dibawa masuk dari Indonesia sebelum diseludup keluar menerusi pengangkutan udara dan laut ke beberapa negara khususnya Vietnam dan China. 

“Selain itu, Malaysia juga menjadi tumpuan pemburu haram untuk mencuri beberapa spesis burung antaranya spesies burung murai batu untuk diseludup ke luar negara kerana mendapat permintaan yang tinggi,” katanya. 

Dalam pada itu katanya, seramai 127 pemburu haram ditahan dan sebanyak RM31.86 juta nilai sitaan termasuk hidupan liar dirampas menerusi 11 siri OBK yang dijalankan tahun ini di seluruh negara. 

“Sebanyak 69 kertas siasatan telah dibuka dan 293 jerat hidupan telah dimusnahkan di lapangan sepanjang tempoh tersebut. 

“Tahun ini mencatatkan jumlah sitaan paling besar iaitu RM31.86 juta berbanding tempoh dua tahun lepas iaitu sebanyak RM4.25 juta dan kejayaan ini adalah adalah hasil OBK yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi lain antaranya PDRM, JKDM dan lain-lain lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya