PEKAN: Sepasang pengantin baharu mengabadikan hari bahagia mereka dengan cara yang unik apabila memilih untuk bersanding di atas rumah rakit di Sungai Pahang dekat Kampung Ganchong Tengah, di sini hari ini.
Pasangan pengantin tersebut, Mohd. Faizuan Abd. Ghani, 26, dan Nora Amira Mohd. Sofi, 23, masing-masing kelihatan segak dan cantik dengan busana pengantin berwarna merah jambu.
Majlis bermula kira-kira pukul 12 tengah hari dengan ketibaan pengantin lelaki yang kemudian diarak dengan bot gentian kaca manakala pengantin perempuan sedia menunggu di atas pelamin di rumah rakit.
Mohd. Faizuan yang bekerja sebagai Penyelia Tapak Projek berkata, mereka berdua memilih untuk bersanding di rumah rakit berkenaan kerana permandangannya yang cantik dengan berlatar belakangkan Sungai Pahang.
“Selain itu, kami ingin abadikan hari bersejarah ini dengan sesuatu yang unik dan berbeza daripada pasangan pengantin lain supaya semua orang akan mengingati.
“Idea asal untuk bersanding diatas rumah rakit ini datang dari bapa mentua (Mohd. Sofi Abd. Rahim) dan kami juga rasa ia satu idea yang menarik dan bersetuju untuk melakukannya,” katanya ketika ditemui pada majlis itu hari ini.
Sementara itu, berkongsi pengalaman manis itu, Nora Amira yang bertugas sebagai Pembantu Pegawai Tadbir di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan mengakui gementar untuk menaiki bot di Sungai Pahang.
“Ini adalah pengalaman pertama saya menaiki bot di Sungai Pahang dan saya akui rasa gementar pada mulanya tetapi perasaan itu hilang selepas suami memberi kata-kata semangat,” katanya.
Majlis terbabit berlangsung meriah dengan kunjungan saudara mara dan rakan-rakan selain mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. – UTUSAN