KUALA TERENGGANU: Pas menggariskan tiga prinsip penyatuan ummah dalam usaha mewujudkan sebuah pemerintahan yang aman dan sejahtera di Malaysia.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, prinsip itu ialah keadilan kepada seluruh manusia termasuk terhadap musuh diikuti perpaduan ummah sebagai satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
“Prinsip ketiga pula ialah Islam memimpin, jadi semua perintah Allah SWT hendaklah dilaksanakan dengan sempurna, di samping menunaikan kewajipan dakwah kepada seluruh manusia yang tidak berpisah dengan politik.
“Usaha penyatuan ummah tidak mudah kerana memerlukan kesungguhan dan jiwa besar, saling bertoleransi dan bersabar demi mencapai kejayaan yang didambakan, namun, kita wajib menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini.
“Jangan mewujudkan sebarang perpecahan kerana sikap tamak, mementingkan diri atau dendam kesumat sehingga keputusan PRU-14 berulang lagi,” katanya dalam ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-67 di Duyung Marina & Resort, di sini hari ini.