KUALA LUMPUR : Cadangan untuk memperluaskan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi kepada pengusaha bas dan teksi yang gagal mendapatkan skim bantuan itu sebelum ini akan dibincang dengan pelbagai pihak bersama kerajaan.
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, setakat 31 Oktober lalu, sebanyak RM1 bilion yang tersedia di bawah skim itu atau bersamaan 1,492 akaun peminjam sudah digunakan.
“Ini bermaksud masih ada baki peruntukan sebanyak RM495 juta untuk dimanfaatkan oleh pengusaha bas dan teksi. Sehingga kini, hanya lapan syarikat kredit terbabit dalam skim berkenaan.
“Pada 17 November lalu, kerajaan bersetuju memanjangkan lagi skim rehabilitasi yang pada awalnya tamat pada 31 Disember ini dilanjutkan sehingga keseluruhan had jaminan pembiayaan habis digunakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, P Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan) meminta kerajaan menjelaskan adakah terdapat usaha untuk membantu mereka dalam menyediakan skim pinjaman untuk melangsaikan hutang.-UTUSAN ONLINE