AMPANG: Masalah peparitan yang tidak sempurna dan sempit yang mudah tersumbat sehingga menyebabkan air bertakung antara punca berlakunya banjir berlumpur di sekitar daerah Hulu Langat, pada Selasa lalu.
Malah, bukan itu sahaja, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat beberapa kawasan rumah penduduk di situ berhampiran dengan sungai dan tidak diturap dengan betul.
Salah seorang penduduk yang terjejas, Mahani Hashim, 54, ketika ditemui berkata, dia telah tinggal di kawasan berkenaan selama 21 tahun dan kejadian banjir kilat ini merupakan kali kedua selepas hampir 10 tahun.
Katanya, banjir kilat ini juga sangat berbeza dengan kejadian banjir besar pada 2012 yang yang berpunca daripada limpahan air sungai.
“Selalunya air sungai yang mengalir tidak begitu deras tetapi waktu hari kejadian, air besar melimpah terlalu cepat dan saya percaya ia kepala air.
“Mungkin ada kena mengena dengan projek yang sedang dibuat di kawasan bukit berhampiran,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, jelas Mahani, suaminya telah banyak kali membuat permohonan untuk turap jalan di hadapan rumahnya namun perkara itu ditolak sehingga kejadian banjir berlaku.
Seorang lagi penduduk, Hassan Mohd. Sharif, 56, percaya kejadian itu berlaku disebabkan sistem perparitan yang tidak betul selain pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) berhampiran kawasan berkenaan.
Jelasnya, sejak kejadian banjir sebelum ini pada 2012, penduduk ada membuat aduan mengenai lopak-lopak disebabkan longkang yang tersumbat dan tidak sempurna namun tiada tindakan lanjut.
“Jika ada aduan, pihak-pihak berkaitan hanya datang ambil gambar namun tiada tindakan susulan.
“Kedudukan longkang di sini memang tidak teratur. Ada kawasan rumah yang ada parit, ada sebahagian lagi tiada,” katanya yang sudah 56 tahun tinggal di kawasan berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Wan Kamariah Wan Nawang, 59, memberitahu, rumahnya antara yang paling teruk terjejas memandangkan kedudukan rumahnya terletak di tepi sungai.
“Jalan masuk ke rumah saya juga tidak diturap selain tiada sambungan air yang bersih walaupun saya telah tinggal di sini sejak 30 tahun,” katanya.
“Selama saya tinggal di sini, tiada mana-mana pihak pun datang melawat rumah kami,” katanya.
Sehubungan itu, kesemua penduduk kampung berkenaan turut berharap masalah dihadapi mereka akan diberi perhatian oleh pihak berwajib, lebih-lebih lagi mereka memerlukan bantuan kewangan bagi membaiki kerosakan rumah mereka. – UTUSAN