KUALA LUMPUR: Pameran 2M Mampu Milik Kali Ke-3 secara maya menawarkan 140 karya hasil 47 pelukis dengan harga mampu milik serendah RM500 hinggalah RM5,000 yang boleh dibeli bermula 20 November sehingga 20 Disember ini.
Presiden Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS), Raja Mohamed Nizam Raja Mohd Ali selaku penganjur menjelaskan, harga mampu milik ditetapkan sedemikian bagi membantu pelukis yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19 serta memudahkan peminat membeli karya seni dengan harga mampu milik.
“Ketika pandemik Covid-19, ramai juga pelukis yang terkesan, perjuangan seni visual agak terbatas, namun kecekalan sahabat seperjuangan dalam terus menghasilkan karya, amat dikagumi.
“Setiap karya yang dihasilkan perlu ditukar kepada sumber pendapatan bagi memastikan sumber disediakan buat keluarga tercinta.
“Pameran ini secara langsung adalah bagi membantu sahabat para seni meneruskan kehidupan.
“Diharapkan para peminat tidak melepaskan peluang keemasan bagi mendapatkan karya seni dengan harga mampu milik sepanjang tempoh pameran ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian Pameran 2M Mampu Milik Kali Ke-3 secara maya hari ini.
Pelukis tanah air, Dr. Ibrahim Ghaffar yang turut menyertainya berkata, pameran itu dibuat secara mampu milik bagi memberi ruang seluas-luasnya kepada ahli APS dan pelukis tanah air untuk mempamerkan karya mereka serta menjadi platform untuk menjual karya mereka.
“Kepada para peminat dan pemerhati seni lukis, ini adalah ruang seluas-luasnya kepada mereka untuk mengikuti pameran ini, membeli dan memiliki karya yang dipamerkan. Maka sebab itu, penganjur APS menetapkan harga asas atau terendah iaitu RM500 dan paling tinggi RM5,000,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan Pameran 2M Mampu Milik yang julung kali diadakan secara maya melalui pautan eKatalog.
“Walaupun pameran ini terpaksa diadakan dalam talian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan kerajaan, tetapi kita tak boleh berhenti berikhtiar bagi mendapatkan sumber pendapatan dalam menyara diri dan keluarga.
“Pameran ini boleh diikuti melalui eKatalog, bagi menyemak karya lukisan, arca, seni reka, pelukis pameran, juga tawaran harga. Mudah-mudahan kutipan atau jualan karya dipamerkan dapat membantu pelukis dan berkongsi ilmu dengan pembeli serta bakal pemilik,” katanya.
Pameran 2M Mampu Milik boleh disertai melalui pautan eKatalog Flipbook
https://heyzine.com/flip-book/09796dfba7.html atau eKatalog di pautan https://drive.google.com/file/d/1kfD1EmGDMA0WzepJPUgQiBOaKPuJoN2f/view?fbclid=IwAR2HUNth53mV5ZZX_5A9VjC6C3ez8MN_wbpOlk1ECo6S-yHjWkgIPnSlZZs.
Sebarang pembelian karya boleh terus hubungi di talian 011-1076 5376 atau 019-398 5864.- UTUSAN ONLINE