JOHOR BAHRU: Pelakon, Nynaa Harizal menafikan dakwaan dia diculik oleh ibu bapanya, sebaliknya menjelaskan dia berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan orang tuanya sejak 2 November lalu.
Nynaa Harizal atau nama sebenarnya Nurul Hanynaa Harizal, 25, berkata demikian selepas menghadiri sebutan bagi permohonan cerai secara baik terhadap suaminya, Mohamed Fahmi Ilyas di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, di sini hari ini.
Nynaa Harizal yang ditemui memberitahu, pihaknya bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung punca permohonan itu dibuat sebaliknya bertindak mengeluarkan satu kenyataan media.
Dalam kenyataan tersebut, dia memberitahu pihaknya telah memfailkan Permohonan Penceraian Dengan Talaq atau Dengan Perintah di bawah Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003 pada 10 November lalu.
“Satu salinan saman tersebut juga telah diserahkan kepada pihak suami pada keesokan harinya iaitu pada 11 November. Hari ini adalah sebutan bagi permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru. Suami saya tidak hadir sebaliknya hanya diwakili pihak peguam,” katanya.
Tambah Nyna Harizal yang juga merupakan seorang pengacara dan model itu, permohonan itu dibuat sebagai harapan dan doa agar suaminya melepaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan dengan cara baik tanpa perlu meneruskan dengan proses perundangan lain.
“Sementara proses Mahkamah Syariah ini berjalan dan selagi tidak menjejaskan prosiding, saya membuka ruang untuk perbincangan dengan suami dan perkara ini telah dinyatakan melalui perbualan telefon pada 12 November lalu.
“Oleh kerana isu ini bersifat peribadi dan sedang dalam proses mahkamah, saya membuat keputusan untuk tidak memberikan ulasan lanjut berkaitan punca dan penyebab yang membawa kepada keadaan ini.
“Cukuplah sekadar itu kenyataan saya dan saya mengharapkan doa dari kalian agar Allah S.W.T akan terus memberikan kekuatan kepada saya. Saya amat menghargai segala pandangan dan nasihat diberikan masyarakat termasuklah para Asatizah untuk saya menghadapi kehidupan ini,” ujarnya.
Baru-baru ini, industri hiburan tempatan digemparkan dengan kemelut rumah tangga membabitkan Nynaa Harizal, suami dan bapanya yang meletus dalam media sosial.
Media tempatan melaporkan kekecohan itu didakwa berlaku apabila bapa Nynaa Harizal membawa senjata api ke set penggambaran sehingga timbul cakap-cakap finalis Dewi Remaja 2019 itu diculik.
Sementara itu, peguam Nynaa Harizal, Datuk Ikbal Salam memberitahu, dalam prosiding hari ini, pihak mahkamah telah menetapkan tarikh 25 Disember ini sebagai sebutan semula untuk penyerahan notis.
“Memandangkan proses ini melibatkan permohonan cerai secara baik, kami akan melihat respons daripada pihak defendan iaitu suami Nynaa sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE