Nazamid dilantik TNC Penyelidikan dan Inovasi UPM - Utusan Malaysia

Nazamid dilantik TNC Penyelidikan dan Inovasi UPM

PROF. DR. NAZAMID SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan Prof. Dr. Nazamid Saari sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)  Universiti Putra Malaysia (UPM) berkuat kuasa pada 25 Oktober lalu.

Kementerian tersebut dalam kenyataannya berkata, portfolio yang akan dipegang oleh beliau adalah mengetuai pentadbiran Pejabat TNCPI serta menguruskan hal ehwal penyelidikan universiti dan pengkomersilan hasil penyelidikan.

Menurutnya, pelantikan tersebut mendapat persetujuan oleh pengurusan UPM kerana selaras dengan misi insitut pengajian tinggi tersebut.

“Pengurusan UPM menyifatkan pelantikan beliau dapat menyokong universiti berkenaan memperkukuhkan kedudukan sebagai universiti penyelidikan dengan memberikan komitmen kepada aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan hasil penyelidikan.

“Pengalaman yang luas dalam bidang penyelidikan dan perundingan mampu memperkasa bidang tujahan utama UPM iaitu pertanian seterusnya melonjak tahap pencapaian penyelidikan dan inovasi ke peringkat antarabangsa,” katanya di dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Pelantikan Nazamid adalah bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Zulkifli Idrus yang menamatkan khidmat beliau selama tiga tahun sehingga 14 April 2021.

Nazamid dilahirkan pada 20 September 1963 di Padang Rengas, Perak merupakan pakar bioteknologi dan enzimologi makanan mendapat ijazah Bacelor Sains dan Teknologi pada tahun 1986, Ijazah Sarjana Biokimia Makanan dari Saga University, Jepun pada tahun 1993, dan doktor falsafah (PhD) dari Kagoshima University, Jepun pada tahun 1996.

Selain memegang portfolio yang tinggi beliau turut menerbitkan lebih 219 penerbitan dalam jurnal berwasit berimpak tinggi disamping penerbitan lain seperti prosiding, buku, bab dalam buku, dan dalam bentuk laporan teknikal hasil dari penyelidikan yang dijalankan.

Beliau dan kumpulannya juga menyelia lebih 24 pelajar pasca siswazah peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Nazamid juga mengetuai beberapa projek penyelidikan strategik berskala besar termasuk projek penyelidikan berkaitan dengan peptida sebagai bahan ramuan makanan dan makanan fungsian melalui geran bernilai RM1.8 juta daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan juga geran Teknofund bernilai RM1.8 juta bagi pembangunan SME susu tablet. Penyelidikan beliau mendapat banyak anugerah samada di peringkat national mahupun antarabangsa.

Sejak beberapa tahun lalu, beliau memulakan penyelidikan dan mengetuai projek makanan masa depan dan pembangunan makanan berasaskan protein tumbuhan di UPM bagi melonjakkan peranan UPM khasnya dan Malaysia amnya di persada antarabangsa dalam penyelidikan dan pembangunan makanan masa depan selari dengan trend dan permintaan pasaran global masa kini.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN