PETALING JAYA: Enggan ‘luka lama berdarah kembali’ membuatkan penyerang Selangor, Shahrel Fikri Fauzi mahu bermain berhati-hati sejak diturunkan semula pada aksi ketiga Piala Malaysia selaku pemain gantian.
Penjaring terbanyak tempatan Liga Super 2020 itu berkata, dia masih belum mampu beraksi 90 minit selepas dan tidak mahu tergesa-gesa untuk beraksi penuh kerana khuatir kecederaan kembali menghantui.
Diturunkan sejak perlawanan menentang Kuching City telah memperkuatkan lagi jentera serangan walaupun hadir selaku pemain gantian dan Shahrel membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meledak gol tunggal ketika berdepan Terengganu, Ahad lalu.
“Setakat ini apabila diberi tanggungjawab saya rasa tidak mustahil untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol dan Alhamdulillah malam ini (Ahad) saya berjaya menjaringkan gol.
“Saya rasa macam terlalu cepat juga masuk padang sebab sasaran sebenarnya untuk mula balik musim depan, tetapi selepas proses pemulihan berjalan lancar, saya dapat beraksi semula untuk musim ini, cuma kena kerja lebih keras lagi untuk tahun depan.
“Kaki saya dah pulih sepenuhnya, cuma hanya mental dan fizikal sahaja kena lebih kuat dan nak bermain 90 minit sepenuhnya memang agak sukar, tetapi saya akan cuba perlahan-lahan untuk mungkin masuk di separuh masa kedua terlebih dahulu,” jelasnya.
Bekas pemain Perak itu sebelum ini terpaksa melupakan musim 2021 sepenuhnya selepas berdepan kecederaan pergelangan kaki pada awal Mei lalu sebelum akhirnya kembali mendapat kepercayaan untuk beraksi.
Mengulas berhubung status Shahrel, pengendali skuad Gergasi Merah, Karsten Neitzel memberitahu, pemain berusia 27 tahun itu tiada masalah untuk bermain selama 45 minit.
“Mengenai Shahrel Fikri pula, saya ada bercakap dengan dia minggu lalu untuk menambahkan lagi minit permainan dia dan dia kata tiada masalah untuk beraksi 45 minit dahulu”, jelasnya.
Aksi terakhir Kumpulan B akan berlangsung pada malam ini menyaksikan Terengganu menentang Kuching City, manakala Selangor berdepan Perak.