Najib perlu ‘sedar diri’ - MCW - Utusan Malaysia

Najib perlu ‘sedar diri’ – MCW

KERATAN akhbar Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya ‘sedar diri’ sebelum membuat permohonan sebuah rumah mencecah RM100 juta seperti yang disahkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen, baru-baru ini.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan Najib itu juga adalah tidak wajar berikutan tunggakan cukai sehingga berjuta ringgit.

“Sewajarnya beliau lebih arif mengenai status dan kelayakannya sebelum membuat permohonan tersebut walaupun adalah bekas Perdana Menteri.

“Ini kerana beliau sedang berhadapan dengan kes rayuan mahkamah yang mana beliau didapati bersalah serta dihukum penjara 12 tahun.

“Kita juga maklum bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang menuntut bayaran tunggakan cukai mencecah jutaan ringgit,” kata kenyataan itu.

Khamis lalu, keadaan di Parlimen menjadi ‘panas’ apabila Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad membidas Tengku Zafrul yang didakwa meluluskan pembangunan sebuah rumah untuk diberikan kepada Najib bernilai sehingga RM100 juta.

Menurut Dr. Mahathir, perkara itu perlu dibincangkan di Kabinet dan haruslah dipertimbang semula kerana Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan telah didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn. Bhd.

Menurut MCW, dari segi moral, Najib sepatutnya tidak membuat permohonan rumah dan tanah tersebut selagi kesnya belum diselesaikan secara keseluruhannya.

“Beliau sepatutnya lebih bersifat telus sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan tidak menyusahkan kerajaan semasa atas permintaan yang pasti tular ke serata dunia dan menjejaskan nama baik beliau sebagai bekas Perdana Menteri dan Malaysia.

 “MCW mencadangkan kepada mahkamah untuk percepat perbicaraan rayuan tersebut agar rakyat lebih jelas dengan status kes beliau.

“Semua pihak disaran patuh dan menghormati proses undang-undang. Rakyat sedang memerhati dan menilai tingkah laku ahli politik Malaysia yang tidak habis-habis melakukan hal yang pelik dan seolah-olah sengaja memalukan nama negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya