JOHOR BAHRU: Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dianugerahkan sebagai salah seorang penerima Akademi Sains Dunia (TWAS) dalam kategori Sains dan Kejuruteraan.
UTM dalam satu kenyataan memaklumkan, pencapaian itu diumumkan dalam Persidangan Agung TWAS ke-15 yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.
“TWAS dianugerahkan kepada saintis dari negara membangun sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlang mereka kepada pengetahuan saintifik dalam pelbagai bidang.
“Antara bidang berkenaan adalah Sains Pertanian, Biologi, Kimia, Bumi, Astronomi dan Sains Angkasa, Sains Kejuruteraan, Matematik, Sains Perubatan, Fizik, Sains Sosial serta aplikasi sains dan teknologi untuk pembangunan mampan,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memberitahu, anugerah berkenaan disampaikan bagi menghargai pencapaian cemerlang Ahmad Fauzi dalam bidang teknologi membran dan nanoteknologi bagi digunakan dalam sektor perawatan air kumbahan serta pengasingan gas dan hemodialisis. – UTUSAN ONLINE