MyMobiFix bantu pekerja ekonomi gig terpinggir - Utusan Malaysia

MyMobiFix bantu pekerja ekonomi gig terpinggir

MAJLIS graduasi Program MyMobiFix- Bootcamp Fasa 1 anjuran HSBC Bank Malaysia bersama YIM dan U4U diadakan enam hari dan disertai 50 belia yang terdiri daripada pekerja ekonomi gig dalam golongan B40.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program MyMobiFix- Bootcamp iaitu kelas pembaikan telefon pintar anjuran HSBC Bank Malaysia bersama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan U4U bertujuan meningkatkan kemahiran sekali gus membantu pekerja ekonomi gig yang terpinggir.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah, Raja Amir Raja Azwa berkata, program itu diadakan hasil sumbangan RM500,000 oleh HSBC Bank, dengan tujuan meningkatkan kemahiran 170 peserta terdiri daripada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan seperti golongan B40.

“Kemajuan dalam teknologi digital dan Covid-19 dengan pantas mengubah cara kita bekerja dan hidup serta menjejaskan kewangan dan mata pencarian rakyat. Itulah sebabnya kami di HSBC komited membina kemahiran masa depan untuk pelanggan, pekerja dan orang ramai dalam komuniti yang kami berkhidmat.

“Kami menyasar membangunkan generasi bebas dari segi ekonomi dan keusahawanan yang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran penting untuk berkembang maju dalam dunia moden. Kami menghargai Yayasan Inovasi Malaysia atas inisiatif berimpak tinggi ini dan menantikan kisah-kisah inspirasi peserta selepas program tersebut selesai,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia, Sharmila Mohamed Salleh berkata, fasa pertama MyMobiFix yang tamat baru-baru ini menyediakan peserta dengan kemahiran dan pengetahuan khusus supaya mereka memperoleh pekerjaan atau kemahiran keusahawanan dalam bidang pembaikan telefon pintar untuk meraih pendapatan.

“Program ini berupaya mengurangkan kadar pengangguran dalam masyarakat B40 untuk memperoleh kemahiran baharu bagi menjana pendapatan dan menyara kehidupan mereka. MyMobiFix membantu pekerja ekonomi gig yang terkesan dengan wabak Covid-19. Program ini menggalakkan pendidikan berkualiti dan menyokong peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan terpinggir,” katanya.

Terbahagi kepada tiga fasa melibatkan seramai 170 peserta yang berpeluang meningkatkan kemahiran diri menjadi individu yang bekerja sendiri di bawah ekonomi gig, memberikan mereka fleksibiliti bekerja dari rumah, berbanding daripada menceburi perniagaan arus perdana yang berkos tinggi.

Fasa pertama program selama enam hari dibuat untuk 50 belia yang perlu menjalani latihan peringkat asas hingga lanjutan yang mana mereka mendapat pengetahuan tentang perisian dan perkakasan telefon bimbit, menukar bahagian dan komponen, membaiki kerosakan perkakasan, perisian alat canggih dan lain-lain.

Program seterusnya membuka laluan kepada 20 belia berprestasi tinggi untuk menyertai Fasa 2 iaitu Program Train-the-Trainer selama tiga hari yang membolehkan mereka menjadi jurulatih junior sambil menguasai kemahiran khusus yang memfokuskan pada perisian dan perkakasan untuk meningkatkan lagi kemahiran teknikal mereka.

Dalam Fasa 3, 20 jurulatih junior ini kemudian melatih sejumlah 120 belia daripada empat komuniti PPR dalam bengkel empat hari yang mengajar mereka pembaikan asas telefon pintar dan belajar tentang cara memulakan serta menjalankan perusahaan yang bertanggungjawab dari segi sosial dan alam sekitar kerana kebanyakan telefon pintar yang dilupuskan menjadi e-waste yang mempunyai kesan buruk kepada bumi.

MyMobiFix menggalakkan pendidikan berkualiti inklusif, saksama dan menyokong peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan terpinggir melalui perkongsian strategik dengan organisasi masyarakat sivil, syarikat, agensi kerajaan dan komuniti tempatan untuk membolehkan impak kolektif. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya