PETALING JAYA: Datuk Musa Sheikh Fadzir dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif baharu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Dr. Rameli Musa yang tamat perkhidmatannya pada 1 Februari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, Musa dilantik atas dasar pengetahuan dan pengalaman luasnya untuk menerajui KTMB.
“Kami berharap kepemimpinan beliau membawa KTMB ke tahap yang lebih tinggi sebagai pengendali perkhidmatan pengangkutan rel unggul di rantau ini.
“Ini termasuk bagi merealisasikan agenda digitalisasi dan automasi perkhidmatan pengangkutan rel seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Musa juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat Aseania yang terlibat dalam industri perhotelan dan hartanah.
Beliau juga adalah Pengerusi Bukan Eksekutif JKP Sdn. Bhd. iaitu sebuah agensi pelaksana kepada Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.
Musa juga pernah menjawat pelbagai jawatan dalam barisan kepemimpinan tertinggi agensi kerajaan seperti Ahli Lembaga Pengarah di Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Ahli Majlis Majlis Amanah Rakyat (Mara). – UTUSAN ONLINE