Muhammad Shafee mohon gantung prosiding kes saman LHDN - Utusan Malaysia

Muhammad Shafee mohon gantung prosiding kes saman LHDN

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes saman yang difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntutnya membayar tunggakan cukai pendapatan RM9.41 juta sementara menunggu pelupusan rayuannya di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia.

Muhammad Shafee, 69, memfailkan permohonan itu kelmarin agar prosiding itu digantung sementara menunggu permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelakinya, Datuk Mohd. Nazifuddin untuk mendapat kebenaran merayu, didengar di Mahkamah Persekutuan pada 16 Februari tahun depan.

Peguam itu selaku pemohon antara lain memberi alasan telah memfailkan notis rayuan iaitu Borang Q terhadap notis-notis taksiran tambahan bagi tahun taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 kepada LHDN pada 27 Jun 2019.

Beliau turut menyatakan, wujud keadaan istimewa antaranya melibatkan isu undang-undang yang novel dan kompleks yang memerlukan penentuan Mahkamah Persekutuan yang mewajarkan prosidingnya digantung.

Pada 13 September lalu, Najib dan Mohd. Nazifuddin memfailkan notis usul untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pembayaran tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.

Pada September lalu, LHDN telah memfailkan penghakiman terus terhadap Muhammad Shafee yang menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan dan afidavit tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Berdasarkan sistem mahkamah (e-filing), antara alasan permohonan penghakiman terus itu ialah LHDN berhak untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan dan kenaikan-kenaikan tertunggak yang dikenakan ke atas defendan sebagai satu cukai yang genap masanya dan kena dibayar.

Pada 13 Oktober lalu,  LHDN memohon untuk membatalkan tuntutan balas yang dikemukakannya.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman terhadap Muhammad Shafee pada 6 Mei lalu dengan menamakan beliau sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama lima tahun. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN