KOTA TINGGI: Dianggarkan kira-kira 50 peratus penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar, di sini muncul sebagai peniaga baharu selepas terkesan ekoran pandemik Covid-19 melanda negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, rata-rata mereka terdiri daripada golongan yang kehilangan pekerjaan dan cuba berniaga untuk meneruskan kehidupan masing-masing.
Oleh yang demikian, beliau meminta agar kerajaan mempertimbang meringankan permohonan bantuan dari agensi seperti Jabatan Pertanian bagi mereka yang baru memulakan perniagaan akibat kehilangan pekerjaan.
“Di kawasan DUN ini walaupun agak kecil tapi ramai pengusaha baharu, rata-rata mereka yang berhenti kerja akibat Covid-19 dan menggunakan platform ini dengan berniaga bagi mencari rezeki. Kita juga minta jika boleh ringankan lagi syarat, jika sebelum ini kena ada perniagaan baharu dapat bantuan, tapi perlu lihat juga jika pemohon adalah terdiri dari mereka yang terpaksa dan diberhentikan kerja jadi haruslah dipertimbang untuk bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan dan menyerahkan Sijil PKPJ kepada tiga usahawan di Felda Sungai Mas, Felda Semenchu dan Felda Air Tawar 1 di sini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi, Mohd. Hafizh Hussain. – UTUSAN ONLINE