KUALA LUMPUR : Jaringan Adriano dan Sony Norde bawa Melaka United (MU) mara ke separuh akhir selepas menundukkan Sabah 2-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Rusa mara dengan agregat 3-1 selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 di Stadium Likas, Ahad lalu.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Melaka United bermula garang dengan membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang penyerang dari Brazil Adriano sewal minit ketiga.
Tuan rumah berpeluang menggandakan jaringan namun umpanan menarik Adriano pada minit ke-39 gagal disempurnakan Khairul Anwar Shahrudin biarpun hanya berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Sabah Rozaimie Rohim.
Bersambung babak kedua, penyerang dari Haiti Sony Norde meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0 hasil jaringannya pada minit ke-78.
Sabah bagaimanapun, berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti yang disudahkan kapten pasukan Risto Mitrevski namun kebangkitan itu sudah terlambat buat pasukannya.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin akan berdepan Kuala Lumpur City (KL City) diperingkat separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 22 dan 26 November ini.