PETALING JAYA: Penyerang Terengganu, Jordan Mintah menyifatkan pengorbanannya menahan sakit susulan kecederaan siku demi Piala Malaysia berbaloi apabila berjaya meledak dua jaringan dalam aksi menentang Selangor, Ahad lalu.
Mintah masih belum cergas 100 peratus ekoran kecederaan yang dialami bahkan rasa sakit masih lagi dirasai ketika beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain meraih kemenangan 3-1 ke atas Selangor.
Namun, penjaring terbanyak Liga Perdana itu tidak menjadikan kecederaan sebagai halangan besar untuk menjadi tulang belakang pasukan selepas berjaya meledak dua jaringan menerusi sepakan percuma sekali gus meletakkan Terengganu selaku juara Kumpulan B.
“Sebenarnya perlawanan tadi (Ahad) saya masih rasa sakit lagi dan belum cergas sepenuhnya sebab setiap kali kalau terjatuh memang akan rasa sakit di bahagian siku.
“Tetapi, saya tahu saya perlu berkorban untuk Piala Malaysia ini sebab saya mahu berikan apa yang penyokong mahu dan setiap kali saya di padang, saya akan lupa semua rasa sakit dan hanya fikirkan untuk beraksi sahaja.
“Gol yang dilakukan itu juga memang saya sudah lama sasarkan untuk cuba buat menerusi sepakan percuma, jadi setiap kali ada sepakan percuma, saya memang nak buat dan tidak sangka malam ini (Ahad) ia berhasil untuk memberikan dua gol kepada pasukan”, jelasnya.
Dalam pada itu, Nafuzi cukup berbangga atas pencapaian anak buahnya yang berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah untuk memberi kemenangan kelima berturut-turut buat pasukan.
Namun, beliau menegaskan misi untuk membawa pulang trofi Piala Malaysia masih lagi jauh dan mahu barisan pemain fokus satu persatu untuk memastikan mereka mampu melangkah ke pentas final pada musim ini.