Mintah bantu Terengganu benam Selangor  - Utusan Malaysia

Mintah bantu Terengganu benam Selangor 

JORDAN Mintah dan Faisal Halim muncul penjaring dalam aksi menentang Selangor FC, malam ini. - IHSAN FB Terengganu FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Dua gol Jordan Mintah berjaya menghadiahkan Terengganu FC kemenangan 3-1 ke atas Selangor FC dan muncul juara Kumpulan B dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Lebih manis, kemenangan itu mengekal rekod bersih skuad Penyu ke atas The Red Giants dalam empat perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan tersebut musim ini iaitu dua di saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Beraksi sebagai pasukan pelawat, anak buah Nafuzi Zain bermula garang apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi rembatan Faisal Halim yang melakukan tindakan susulan selepas rembatan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob di tepis lemah oleh penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Ketinggalan satu gol menyaksikan pengendali Selangor Karsten Neitzel membuat keputusan dengan membawa masuk Shahrel Fikri Fauzi pada babak kedua dan penyerang skuad kebangsaan itu hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-46 namun rembatannya sekadar menggegar tiang gol lawan.

Disebalik keghairahan Selangor menyerang dalam memburu gol penyamaan, Mintah berjaya meletakkan pasukan pelawat selesa mendahului menerusi sepakan bola mati untuk menewaskan Khairulazhan buat kali kedua pada minit ke-72.


PENYERANG Selangor Shahrel Fikri Fauzi menjadi penjaring gol tunggal buat pasukan tuan rumah dalam aksi kelima Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi. – IHSAN FB Selangor FC

Usaha keras tuan rumah mencari gol akhirnya berhasil pada minit ke-83 hasil tampanan mudah Shahrel namun pada minit terakhir perlawanan, Mintah sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring menerusi sepakan bola mati yang gagal diselamatkan Khairulazhan yang kelihatan sedikit leka.

Kemenangan itu, membolehkan skuad Penyu mara ke suku akhir sebagai juara kumpulan selepas mengumpul 15 mata manakala Selangor terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dengan sembilan mata biarpun masih berbaki satu perlawanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya