PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) sedaya upaya berusaha menyasarkan membantu mana-mana golongan terutama kanak-kanak yang dilahirkan di negara ini, tetapi tidak berstatus warganegara atau stateless.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hassim berkata, MHO percaya masih terdapat banyak lagi mereka di luar sana mengalami kes sebegitu.
“MHO sedaya upaya bantu membuat permohonan ke mahkamah bagi memberi hak kepada golongan stateless yang memenuhi syarat perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pada 25 Oktober lepas, media melaporkan Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan permohonan seorang kanak-kanak berumur lima tahun yang bapanya rakyat negara ini dan dilahirkan di negara ini oleh seorang wanita warga China.
Kanak-kanak itu yang sebelum ini memegang status ‘tidak bernegara’ dan satu Saman Pemula telah difailkan oleh oleh kanak-kanak tersebut melalui bapanya memohon supaya mendaftarkan semula taraf kewarganegaraan kanak-kanak berkenaan sebagai warganegara Malaysia menggunapakai prinsip di dalam Seksyen 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan tersebut.
Kanak-kanak tersebut juga memohon Ketua Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Malaysia mendaftarkan semula kelahirannya sebagai orang sah taraf dan menamakan bapanya sebagai bapa kandung dan ibunya sebagai ibu kandung.
Menurut Hishamuddin, dalam memutuskan sesuatu kes, mahkamah mengambil kira beberapa faktor serta elemen yang dinyatakan di dalam Seksyen 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan dan merujuk syarat-syarat bagi melayakkan sesuatu permohonan itu berjaya.
“Seksyen 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan adalah seksyen penting yang diguna pakai sekiranya terdapat kanak-kanak dilahirkan di Malaysia tetapi tidak berstatus warganegara dan atau stateless tetapi ingin memohon warganegara melalui cara penguatkuasaan undang-undang.
“Antara elemen utama adalah salah seorang bapa atau ibu adalah warganegara Malaysia, kanak-kanak tersebut mestilah lahir di Malaysia dan semasa dilahirkan kanak-kanak itu tiada memegang mana-mana kewarganegaraan negara lain.
“Selain itu, faktor lain yang penting akan diambil kira seperti taraf sah seseorang kanak-kanak tersebut, taraf sah perkahwinan ibu dan bapa,” ujarnya.
Tambah beliau, mahkamah juga mengambil kira berdasarkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) yang menyatakan lelaki tersebut itu adalah bapa kandungnya.
“Mahkamah juga memutuskan isu sama ada taraf perkahwinan ibu bapa semasa kanak-kanak itu dilahirkan sah atau tidak adalah tidak relevan dengan kes berkenaan, ini disebabkan kanak-kanak berkenaan dilahirkan di Ipoh dan tiada pasport luar negara atau kerakyatan negara lain,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE