MONTEVIDEO : Argentina mengesahkan tempat ke Piala Dunia di Qatar tahun depan walaupun sekadar meraih keputusan tanpa jaringan menentang Brazil dalam aksi kelayakan di San Juan pagi ini.
Kejayaan itu melengkapkan tahun cemerlang buat Argentina dan Lionel Messi yang menjuarai Copa Amerika ke-15 pada Julai lalu selepas menewaskan Brazil 1-0 di Stadium Maracana selain kali ke-13 berturut-turut Argentina mara ke Piala Dunia dan hanya sekali gagal layak ketika pusingan akhir 1970 di Mexico.
Brazil lebih awal mara selepas menewaskan Colombia 1-0 pada Jumaat lalu.
Perlawanan lain menyaksikan Uruguay tewas 0-3 kepada Bolivia dan Ecuador mengatasi Chile 2-0 sekali gus memastikan Argentina yang tidak tewas 27 perlawanan meraih tiket automatik dengan hanya dua lagi tempat menjadi rebutan berbaki empat perlawanan.
Ecuador dijangka menyertai kedua-dua gergasi benua itu selepas menduduki tangga ketiga dengan kelebihan enam mata di depan Colombia dengan hanya baki empat perlawanan.
Bagaimanapun perebutan tiket automatik keempat lebih sengit selepas lima pasukan hanya dipisahkan dua mata manakala Venezuela yang menduduki tempat tercorot dalam saingan 10 pasukan itu sudah boleh melupakan hasrat ke Qatar. – AFP