PARIS : Akhirnya detik gembira ini tiba buat Lionel Messi yang meledak gol pertamanya di Ligue 1 untuk membantu Paris Saint Germain (PSG) menumpaskan Nantes 3-1 walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga golnya, Keylor Navas dilayangkan kad merah.
Kylian Mbappe membuka tirai jaringan di Parc des Princes namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Randal Kolo Muani menyamakan kedudukan buat Nantes pada babak kedua selepas Navas dibuang padang.
Gol sendiri Dennis Appiah kembali meletakkan PSG di depan berbaki 10 minit permainan sebelum Messi melengkapkan kemenangan ke-12 daripada 14 saingan liga musim ini menjelang pertemuan dengan Manchester City dalam Liga Juara-Juara.
“Saya gembira dengan gol pertama ini yang sangat diingini. Saya ada beberapa peluang, dalam perlawanan ini dan aksi sebelum ini.
“Saya sangat gembira dengan gol pertama dalam Ligue 1 walaupun saya sudah menjaringkan gol di Liga Juara-Juara,” katanya.
Pemain Argentina itu sudah meledak tiga gol buat PSG dalam saingan Eropah tetapi masih belum menemui sentuhan jaringan di liga utama selepas lima penampilan. – AFP