Mendapan tanah ganggu pelancongan Hulu Tembeling - Utusan Malaysia

Mendapan tanah ganggu pelancongan Hulu Tembeling

RUNTUHAN tebing dan mendapan tanah di laluan antara Kampung Tuit ke Hulu Tembeling berdekatan Kem Nusa, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Gelembung pelancongan yang mula rancak dalam tempoh fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di kawasan kampung tradisional Hulu Tembeling di sini, terganggu selepas berlaku mendapan tanah berdekatan jalan raya antara Kampung Tuit, Kuala Tahan ke Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling.

Pelawat domestik yang ‘ghairah’ berkunjung ke situ untuk bersiar di beberapa buah kampung Mukim Hulu Tembeling, berasa tidak selesa malah bimbang ketika memandu kenderaan berdekatan laluan mendap dan runtuhan tebing yang berlaku sejak tiga bulan lalu.

Kawasan tepi jalan raya yang berlaku mendapan, iaitu di jalan raya Kampung Tuit ke Kampung Pagi berdekatan Kem Nusa dan Tabung, manakala berdekatan pusat rekreasi Bukit Awam antara laluan Kampung Pagi ke Kuala Sat pula terdapat mendapan ketara hingga wujud struktur jalan tidak rata.

Senario itu semakin membimbangkan penduduk dan pengunjung kerana kemungkinan berlaku banyak lagi mendapan tanah serta runtuhan tebing ekoran kekerapan hujan lebat berikutan fenomena musim tengkujuh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengunjung dari Lembah Klang, Azhari Rahman berkata, dia bimbang ketika memandu apabila melihat mendapan dan runtuhan tebing yang boleh membahayakan kenderaan berulang alik menggunakan laluan tersebut.

“Sepatutnya ada pemantauan dan cepat dibaik pulih sekiranya berlaku mendapan supaya tidak berlaku lebih teruk sehingga menggangu laluan kenderaan.

“Saya sudah tiga kali berkunjung ke Kampung Kuala Sat, keadaan mendapan tanah dan runtuhan tebing masih berlaku malah di kiri kanan jalan juga semak-samun rumput, lalang dan pokok kecil yang tebal tidak diuruskan kerja pembersihan,” katanya di kampung itu, semalam.

Suasana itu, kata Azhari, boleh menjejaskan ekopelancongan kampung tradisional Hulu Tembeling yang saban waktu menarik ramai pengunjung luar yang ingin melihat hutan tropika, memancing ikan liar, berkelah dan menikmati makanan tradisional penduduk tempatan.

Sementara itu, penduduk Kampung Kuala Sat, Zulkifli Jamaludin berharap kerajaan dapat membaik pulih mendapan tanah dan runtuhan tebing berdekatan jalan raya tersebut untuk keselesaan pengunjung luar serta keselamatan kenderaan.

“Kita sebagai pengusaha dan penggiat ekopelancongan di sini pun mahukan kemudahan jalan raya yang sempurna kerana tempoh sebelum musim tengkujuh ini adalah peluang memperoleh rezeki apabila pengunjung ramai ke sini.

“Bagi penduduk Hulu Tembeling, jalan raya berkenaan adalah perhubungan darat utama sejauh 130 kilometer ke bandar Jerantut yang lebih menjimatkan masa perjalanan dan bahan api (petrol) berbanding penggunaan bot penambang,” katanya.

Ujarnya, masih ada lori balak keluar masuk melalui jalan raya di situ antara punca struktur serta spesifikasi permukaan laluan mudah rosak dan mendap. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya