PUTRAJAYA: Penggemar aktiviti penjelajahan hutan dinasihatkan menyemak terlebih dahulu sama ada lokasi yang hendak dimasuki mereka ialah kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Peringatan mesra itu dikeluarkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) melalui hantaran dalam laman sosial rasminya susulan banyak kes pencerobohan HSK oleh pendaki.
“Sekiranya, kawasan yang anda merancang secara kebetulan memang tersenarai dalam HSK, maka sila mohon permit menerusi Pejabat Hutan Daerah berkaitan,” kata agensi tersebut.
Meskipun tidak dinyatakan secara spesifik, kenyataan JPSM itu jelas merujuk insiden tindakan 16 pendaki yang menceroboh HSK Bukit Kutu di Daerah Hulu Selangor, Selangor kelmarin.
Mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan pasukan dari Pejabat Hutan Daerah dengan dibantu anggota Balai Polis Kuala Kubu Bharu kerana memasuki hutan itu tanpa izin.
Kesemua individu berusia antara 32 tahun hingga 59 tahun itu mendakwa kononnya tidak tahu mengenai keperluan permit yang sah dan hanya mengikuti rakan mereka sebelum ditangkap.
Pada 25 September lalu, sejumlah 56 pendaki turut ditahan ketika meredah Air Terjun Setinggi di HSK Serendah juga dalam daerah yang sama hasil aduan penduduk di pinggir hutan itu.
Masyarakat setempat mendakwa, ramai pengunjung datang ke situ dengan sengaja meletak kenderaan di tepi jalan rumah mereka dan buang sampah sesuka hati tanpa rasa bersalah.
Terdahulu, pada 11 September pula, 24 individu dicekup sebelum memasuki HSK Batang Kali tanpa permit untuk aktiviti ikhtiar hidup di Gua Prong, Hulu Tamu dalam daerah yang sama.
Mengulas lebih lanjut, JPSM memaklumkan bahawa adalah menjadi suatu kesalahan serius memasuki HSK tanpa kebenaran di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).
Individu terbabit sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah, boleh dikenakan hukuman denda sehingga maksimum RM50,000 atau pun dipenjarakan tidak lebih daripada lima tahun.
Justeru, peminat kegiatan riadah tersebut ujar JPSM, sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan menyemak terlebih dahulu termasuk melayari pautan laman sesawang rasmi agensi itu.
Orang ramai yang mahu memasuki HSK perlu membayar permit mengikut lokasi dengan ada mengenakan cuma RM5 bagi setiap seorang atau RM10 untuk bukan warganegara Malaysia.
Di Johor dan Pahang, caj berkenaan ialah RM10 bagi seorang atau RM30 untuk bukan rakyat Malaysia manakala di Kelantan pula mengenaikan kadar sebanyak RM20 atau sebahagian.
Terdapat hampir 300 kawasan rekreasi HSK di seluruh Semenanjung Malaysia yang meliputi sebahagian besar bukit dan gunung selain tanah tinggi serta trek denai popular pelancongan.
JPSM yang ditubuhkan pada 1901 lalu, bertanggungjawab dalam melindungi HSK yang kaya dengan lebih 2,500 spesies pokok selaras Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992). -UTUSAN ONLINE