PN buat kajian mendalam cari punca kegagalan
AMRAN MULUP
[email protected]
MELAKA: Perikatan Nasional (PN) akan membuat kajian mendalam selepas hanya mampu memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian itu perlu dilaksanakan segera untuk mengenal pasti punca utama kegagalan memenangi hanya dua kerusi daripada 28 yang ditandingi itu ada kaitan dengan jumlah pengundi yang keluar tidak besar, masalah disebabkan oleh jentera atau masalah-masalah lain.
“Ini banyak memberi kita pengajaran dan panduan tentang langkah-langkah seterusnya yang akan diambil oleh PN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya nak ucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) kerana telah dapat membentuk kerajaan di negeri Melaka dan saya berharap agar BN menunaikan segala apa yang telah dijanjikan kepada rakyat negeri ini seperti yang terkandung dalam manifesto,” ujarnya dalam sidang akhbar di Pusat Gerakan PN di Hotel Hatten di sini, malam ini.
PN melalui gabungan bersama Pas dan Gerakan hanya mampu menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Bemban daripada 28 kerusi yang ditandinginya.
Yang turut hadir Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin termasuk dua calon yang menang iaitu Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (Bemban) dan Dr. Mohd. Aleef Yusof (Sungai Udang).
Di sebalik kegagalan itu, kata Presiden Parti Bersatu Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaa, beliau turut melahirkan rasa lega jumlah undi dalam kalangan calon-calon yang bertanding menunjukkan peningkatan berikutan majoriti tipis yang dimenangi oleh BN di beberapa kerusi.
Tegasnya, PN tetap bersedia apa sahaja jika PRU-15 bakal diadakan pada masa terdekat kerana sebagai sebuah parti mereka tetap mendokong untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. – UTUSAN ONLINE