TAIPING: Mayat seorang lelaki dengan kesan kecederaan pada kepala dan kaki ditemukan di kawasan air terjun di Bukit Larut di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kerian, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat tersebut pada pukul 4.30 petang.
Menurutnya, pihak polis yang tiba di lokasi kejadian menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring di kawasan takungan air terjun.
Katanya, lokasi penemuan mayat itu kira-kira 350 meter dari jalan utama dan keadaan muka bumi berbukit batu.
“Mayat ditemukan dalam keadaan tidak berbaju, berseluar pendek dan sebuah beg berwarna hitam disandang di bahu kiri.
“Pemeriksaan awal ke atas mayat menemukan beberapa kesan kecederaan iaitu
koyakan di kepala sebelah kanan, koyakan di cuping telinga kanan dan patah paha kiri.
“Seramai 10 anggota bomba dan seorang pegawai membantu operasi membawa turun mayat dari kawasan berbukit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.
Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan waris si mati dan punca kejadian. – UTUSAN ONLINE