PUTRAJAYA: Pos Malaysia Berhad melancarkan siri setem khas terkini bertemakan Warisan Persuratan Negara yang mempamerkan artifak manuskrip Melayu terkenal dalam sejarah.
Ia meliputi dokumen bersejarah Hikayat Hang Tuah dalam bentuk setem yang berharga 60 sen, Batu Bersurat Terengganu (90 sen) dan warkah Sultan Abdul Hamid Halim Shah (RM1.30).
Tidak ketinggalan kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu pada kurun ke-15 yang turut diterjemah sebagai The Malay Annals dengan dijual dalam bentuk sampul surat hari pertama.
“Segala artifak ini merekodkan kisah dan sejarah negara kita, malah telah diiktiraf dan dicatat dalam Daftar Memori Dunia pada 2001 dan 2009 lalu,” kata syarikat pos tempatan tersebut.
Kehebatan warisan nadir berkenaan bahkan diperakui sendiri oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) yang beribu pejabat di Paris, Perancis.
Produk terbaharu itu sudah dilancarkan secara serentak di seluruh negara pada Selasa lalu serta sudah boleh didapati di kesemua 13 buah pejabat pos besar dan cawangan yang terpilih.
Ppeminat filateli juga boleh membeli dalam bentuk set folder lengkap yang mengandungi tiga helaian 10 keping setem 60 sen, 90 sen dan RM1.30 pada setiap lembaran berkenaan.
“Turut dilampirkan ialah satu lagi sampul surat hari pertama dengan sekeping poskad eksklusif dan senaskhah folder yang keseluruhannya dijual hanya pada harga RM38.30,” jelasnya.
Lembaran istimewa ini tambah Pos Malaysia Berhad, juga boleh dibeli secara atas talian dengan melayari laman sesawang rasmi https://www.pos.com.my/shop/products/stamps.html
Agensi tersebut yang diwujudkan sejak zaman penjajahan British pada awal 1800-an, banyak menerbitkan setem khas bersempena dengan tema tertentu atau peringatan peristiwa penting. – UTUSAN ONLINE