TAMPIN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melancarkan manual Klinik Rohani sebagai panduan pengurusan daripada aspek spiritual untuk pesakit Covid-19 dan pengamal perubatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta hospital.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, permulaan bagi projek Klinik Rohani diadakan di PKRC Tampin dan akan diteliti keberkesanan serta keperluannya di PKRC lain di seluruh negara.
“JAKIM sediakan panduan pengurusan spiritual kepada para pesakit khususnya Covid-19 yang kita tahu mereka ini terkesan dari sudut emosi dan perasaan apabila terkena jangkitan terutama mereka yang ditempatkan di hospital.
“Manual ini lebih kepada panduan bagaimana mereka mahu beribadat dan bagi pengamal perubatan itu sendiri seperti doktor serta jururawat, terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang perlu mereka patuhi seperti mengajar pesakit mengucap kalimah syahadah sebelum ditidurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Klinik Rohani di PKRC 2021 di Dewan Alamanda, Hospital Tampin, di sini, tadi.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Marzuk, berkata, manual berkenaan antara lain mengandungi kaedah-kaedah rawatan jiwa menggunakan pendekatan Imam al-Ghazali yang melibatkan aspek emosi, pemikiran dan tingkah laku.
“Selain manual berkenaan, JAKIM sebelum ini telah pun menyediakan talian MyCare Cov19 03-8870 7000 bagi memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia berkongsikan kisah serta perasaan mereka yang terkesan akibat pandemik berkenaan.
“Talian berkenaan boleh dihubungi pada waktu pejabat. Ramai individu mengadu, termasuk bukan Islam. Ia menerima sambutan menggalakkan, macam-macam orang mengadu masalah antaranya terkesan dalam hubungan rumah tangga,” katanya. – UTUSAN