PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia bersetuju melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement (TCA) atau Vaccinated Travel Lane (VTL) mengambil kira situasi pandemik Covid-19 bertambah baik.
Perkara itu dimaklumkan dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Jakarta, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, inisiatif berkenaan yang diharap dimuktamadkan pada awal tahun depan memudahkan pergerakan semula rakyat kedua-dua negara dengan pembukaan semula sempadan secara kaedah selamat.
Ia adalah penting dalam mengimbangi antara keperluan membuka dan membangunkan semula ekonomi serta menjaga aspek keselamatan dan kawalan kesihatan awam.
Beliau berkata, sebagai cadangan permulaan, inisiatif koridor perjalanan itu akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara, kemudian boleh ditambah destinasi-destinasi lain yang telah menunjukkan risiko rendah.
“Ia akan memberi keutamaan kepada mereka yang divaksinasi penuh, bagi kategori pengembara untuk tujuan rasmi, perniagaan, perubatan dan kemanusiaan.
“Koridor perjalanan ini juga akan melibatkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi Covid-19 dan standard keputusan ujian saringan PCR Covid-19,” katanya.
Ismail Sabri berkata, beliau turut memberi jaminan bahawa Malaysia terus memastikan kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia dipelihara sebagai menghargai sumbangan pekerja migran warganegara Indonesia kepada pembangunan ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia.
Sebagai contoh, kata beliau, pada tahun lepas, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) diluluskan pindaannya, yang menjamin keselesaan penginapan pekerja, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga rakyat asing.
“Saya dan Bapak Presiden seterusnya mengambil maklum tentang kemajuan proses bagi memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia. Kami percaya isu-isu tertunggak dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
“Malaysia juga berharap agar Program Rekalibrasi yang dilanjutkan Kerajaan Malaysia sehingga penghujung tahun ini, dapat dimanfaatkan sepenuhnya warganegara Indonesia di Malaysia yang ingin pulang secara sukarela atau untuk bekerja secara sah di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri mengalu-alukan pelabur-pelabur daripada Indonesia untuk terus datang melabur di Malaysia.
Beliau menjelaskan, Indonesia merupakan rakan perdagangan dan pelaburan penting dan strategik bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah AS$15.67 billion pada tahun 2020.
Katanya, pada suku kedua tahun ini, jumlah pelaburan Malaysia di Indonesia adalah sebanyak AS$12.53 billion dan pelaburan Indonesia di Malaysia AS$1.16 billion.
“Malaysia percaya pemindahan dan pembangunan Ibu Kota Negara baharu Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur adalah langkah tepat, seperti yang pernah dilakukan Malaysia 25 tahun yang lepas, dengan pemindahan pusat pentadbiran daripada Kuala Lumpur ke Putrajaya.
“Malaysia siap untuk berkongsi pengalaman berkaitan hal ini dan juga syarikat-syarikat daripada Malaysia bersedia untuk bekerjasama dan turut serta membangunkan projek yang berskala mega ini,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia berharap agar Indonesia bersetuju membuat penyenaraian bersama bagi beberapa lagi item warisan kebudayaan yang dikongsi bersama ke UNESCO pada masa hadapan.
Sebagai sahabat serumpun, katanya, Malaysia dan Indonesia berkongsi banyak persamaan dalam pelbagai perkara termasuk adat, tradisi dan warisan kebudayaan dan seperti pada tahun lalu, kedua-dua negara membuat penyenaraian bersama bagi Pantun secara multi-national nomination ke UNESCO. – UTUSAN ONLINE