PETALING JAYA: Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan Malaysia dijangka dapat meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) selewat-lewatnya pada pertengahan tahun depan.
Kata beliau, ia berikutan kajian analisis kos faedah (CBA) perjanjian itu yang dijangka dapat dimuktamadkan pada akhir tahun ini.
“Kita sudah melaksanakan CBA sekali lagi pada tahun ini memandangkan dunia sedang menghadapi pandemik dan harus melihat semula kesan daripada perjanjian perdagangan antarabangsa yang sudah ditandatangani.
“CBA yang dimuktamadkan pada hujung tahun ini akan dikemukakan dan mendapat mandat baharu daripada jemaah menteri sebelum proses dalaman dapat diteruskan,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia (MyAERO’21), di sini semalam.
MyAERO’21 kali keempat itu diterajui oleh Pejabat Penyelaras Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan kerjasama Institusi Jurutera Malaysia (IEM).
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Azmin menegaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan perlu memperhebat rangkaian produk aeroangkasa dan rantaian nilainya di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, ini sejajar dengan sasaran pendapatan industri aeroangkasa mencecah RM30 bilion menjelang 2025.
Kata beliau, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah melakar hala tuju pencapaian industri aeroangkasa sebagai sektor strategik yang akan merealisasikan aspirasi negara untuk menjadi hab antarabangsa.
“Untuk memartabatkan ekosistem aeroangkasa di Malaysia, adalah penting untuk kita meningkatkan pembentukan nilai merentasi keseluruhan rantaian nilai dalam usaha memperkukuh ekosistem sektor berkenaan.
“Beberapa pelanggan segmen pengeluaran produk tulen (OEM) juga telah menyatakan hasrat untuk mendapatkan komponen daripada syarikat tempatan dan kita lihat sudah ada syarikat besar yang mengambil peluang membida projek-projek ini.
“Mereka memerlukan sokongan daripada PKS tempatan maka saya menyeru PKS meningkatkan rantaian nilai mereka dengan menggunakan teknologi terkini dalam usaha memenuhi rantaian nilai terutama berkaitan reka bentuk produk dan pemprosesan,” ujarnya. – UTUSAN