Malaysia bukan negara sihat - KJ  - Utusan Malaysia

Malaysia bukan negara sihat – KJ 

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dikategorikan sebagai bukan negara sihat berdasarkan kesedaran aspek kesihatan dalam kalangan rakyat yang masih berada di tahap rendah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu terbukti menerusi statistik yang menunjukkan Malaysia antara negara tertinggi dalam beberapa masalah kesihatan termasuk sakit jantung.

Malah katanya, kadar kematian yang tinggi di negara ini akibat Covid-19 banyak berkait rapat dengan mereka yang merupakan penghidap penyakit kronik.

“Bayangkan di Malaysia satu daripada dua rakyat obesiti termasuk saya. Manakala satu daripada empat rakyat Malaysia tidak amalkan kecergasan. 

“Selain itu, satu daripada 20 rakyat tidak makan mengikut nutrisi yang betul di samping setengah juta orang dewasa mengalami kemurungan. Saya percaya angka ini sebenarnya masih rendah daripada realitinya,” katanya semasa menjadi tetamu dalam sebuah rancangan televisyen hari ini.

Sehubungan, itu Khairy berkata,  perubahan tingkah laku sangat penting untuk melahirkan negara dan rakyat yang sihat dengan tidak mengharapkan kerajaan semata-mata.

Sebagai contoh, menurutnya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat negara ini sudah cukup mengambarkan tahap kesedaran yang masih rendah. 

“Berdasarkan tinjauan, 95 peratus rakyat cakap akan ikut SOP. Tapi pematuhan SOP tidak ketat. Rakyat kita sendiri contoh pakai pelitup muka ada yang tutup bawah dagu. Perkara paling mudah.Sebab itu saya katakan untuk kita beralih perkara ini sangat penting.

“Justeru, kita perlu laksanakan apa yang disebut sebagai perubahan tingkah laku. Jika nak mengharapkan Kementerian Kesihatan di lapangan dan bertindak, kita tidak cukup tangan. Kita boleh lihat negara maju seperti Jepun yang berjaya menguruskan pandemik menerusi tingkah laku tanpa perlu mengeluarkan kompaun,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya