GEORGETOWN: Majlis akad nikah di Pulau Pinang dibenarkan berlangsung di premis persendirian atau masjid secara bersemuka tanpa sentuhan berkuat kuasa semalam.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, majlis itu bagaimanapun tidak melebihi 50 minit dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Lokasi akad nikah Islam dibenarkan di Pejabat Agama Daerah (PAD), masjid, surau atau premis persendirian dengan syarat mendapat kebenaran dengan jumlah kehadiran tetamu mengikut ketetapan pihak JHEAIPP.
“Sebarang upacara seperti upacara membatalkan sembahyang, sarung cincin, bersalam selepas majlis akad nikah bagaimanapun tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, jumlah kehadiran majlis akad nikah adalah lima orang mengikut rukun nikah dan tetamu bagi majlis akad nikah adalah berpandukan kepada SOP pejabat agama, masjid dan surau.
“Bagi pasangan pengantin yang tidak boleh hadir ke upacara pernikahan (akad nikah) atas faktor kesihatan, mereka boleh melantik dan mewakilkan kepada seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihaknya.
“Jamuan majlis kenduri dan resepsi tidak dibenarkan manakala aktiviti fotografi dibenarkan semasa majlis pernikahan tertakluk kepada pematuhan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kesemua yang terlibat dengan upacara pernikahan diwajibkan membuat saringan kendiri sebelum akad nikah dilaksanakan.
“Pihak PAD, masjid dan surau hendaklah memastikan kaedah keluar dan masuk dari tempat akad nikah adalah selamat dan tanpa risiko jangkitan Covid-19.
“Susun atur majlis akad nikah hendaklah mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter berpandukan SOP terkini yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa agama negeri,” katanya.
Tambahnya, hanya mas kahwin dan dokumen-dokumen yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di dalam ruang majlis.
“Kesemua pihak perlu mempraktikkan amalan sanitasi kebersihan yang optimum pada masa majlis akad dengan terlebih dahulu mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan,” katanya.