SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka permohonan Bantuan Dermasiswa Pengajian Tinggi secara dalam talian kepada mahasiswa terdiri daripada golongan asnaf, fakir, miskin dan mualaf bermula hari ini.
Menurut kenyataan LZS, permohonan itu dibuka kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) selain institut latihan kemahiran awam (ILKA) dan swasta (ILKS).
“Bagi memudahkan perjalanan dalam menimba ilmu, kami membuka permohonan Bantuan Dermasiswa Pengajian Tinggi (IPTA, ILKA, IPTS dan ILKS) kepada penuntut yang layak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, menerusi infografik LZS memberitahu, pemohon yang layak akan menerima biasiswa yuran pengajian, persediaan masuk ke IPT dan bantuan keperluan pendidikan meliputi wang saku, penginapan dan elaun buku. – UTUSAN ONLINE