Longkang dipenuhi sisa domestik, punca tersumbat dan banjir kilat - Utusan Malaysia

Longkang dipenuhi sisa domestik, punca tersumbat dan banjir kilat

KERJA-KERJA pembersihan longkang yang dipenuhi sisa domestik giat dilakukan pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP) di beberapa taman perumahan di Kuantan, Pahang. - FOTO/UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat membuang sisa domestik ke longkang hingga saliran air tersumbat antara sebab berlakunya banjir kilat khususnya di kawasan perumahan.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, setakat ini tiada cara lain ​bagi mengurangkan risiko tersebut melainkan ​dengan ​operasi pembersihan.

Menurutnya, pihaknya melalui syarikat konsesi Alam Flora giat melakukan kerja-kerja pembersihan secara berkala namun kerjasama penduduk begitu diperlukan agar masalah longkang tersumbat dapat diatasi.

“Ada sebuah taman di daerah ini, tidak sampai dua minggu longkang dibersihkan oleh kakitangan Alam Flora, ia kembali dipenuhi bermacam jenis sampah hingga mengakibatkan tersumbat.

“Kalau kita hendak tunggu sebulan sekali baru bersihkan longkang, memang bertimbun (sampah), selagi sikap mereka tidak berubah, sampai bila pun kita tidak boleh selesaikan masalah banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini.

“Kita sebenarnya kecewa dengan tabiat segelintir penduduk yang tidak peka menjaga kebersihan dan jelas menunjukkan kesedaran sivik mereka mendukacitakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memantau kerja pembersihan longkang di sebuah taman perumahan di sini hari ini.

Sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh, pasukan petugas khas terdiri dari beberapa agensi seperti Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Alam Sekitar dan Alam Flora, telah diwujudkan.

Mengulas lanjut Sharudin berkata, kebanyakan sampah dibuang ke longkang bukan sahaja dari kediaman penduduk, malah membabitkan peniaga tepi jalan di sepanjang laluan masuk ke taman-taman perumahan berkenaan.

“Kita sudah melakukan apa yang termampu dan kerjasama penduduk serta peniaga begitu diperlukan bagi memastikan tiada sisa sampah dibuang ke dalam longkang.

“Sekarang sudah musim tengkujuh, bila hujan lebat dan air longkang melimpah hingga (mengakibatkan) banjir kilat, mereka (penduduk) biasanya akan cakap kita tidak buat kerja. Tapi hakikatnya kita sudah melakukan pembersihan longkang sebulan sekali, mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya