‘Lombong emas’ Bukit Lata lengang - Utusan Malaysia

‘Lombong emas’ Bukit Lata lengang

BATU dipercayai mengandungi emas ditemukan di Bukit Lata, Rantau Panjang. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Tapak projek tebatan banjir di Bukit Lata, Rantau Panjang yang diserbu orang ramai hujung minggu lalu, kini lengang selepas batuan didakwa mengandungi emas yang dijumpai di situ rupa-rupanya hanya ketulan logam biasa.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan itu mendapati, tiada lagi kelibat orang awam berkeliaran di situ, ke­cuali pekerja binaan yang sibuk melakukan kerja-kerja projek tebatan banjir.

Salah seorang pekerja enggan dikenali berkata, selepas ketulan batu ditemukan disahkan bukan emas, ‘pelombong’ tidak lagi berminat untuk mencerobohi tapak projek.

“Sebelah malam pun sunyi sepi, tiada siapa datang. Lagi pun pihak pengurusan memang tidak benarkan sesiapa yang tidak berkenaan masuk ke kawasan ini,” katanya ketika ditemui, namun enggan bercerita lanjut.

Seorang penduduk berhampiran tapak projek, Zizah Abdullah, 53, pula berkata, kawasan rumahnya yang dijadikan tempat letak kereta orang luar kini kembali aman seperti sediakala.

“Kerja-kerja pembinaan projek tebatan banjir pun berjalan seperti biasa dan apa yang saya nampak, kawasan tapak pene­muan batu-batu itu telah ditutup kepada orang awam.

“Memang ramai yang kecewa batu yang disangka ada emas rupanya sekadar batu logam biasa,” katanya.

Sementara itu, penduduk ma­hu dikenali sebagai Lie, 40, pula memberitahu, walaupun batu itu disahkan tidak mempunyai kandungan emas, dia tetap menyimpannya sebagai kenang-kenangan.

“Saya simpan batu itu sebab unik dan boleh dijadikan tatapan anak cucu pada masa depan supaya mereka tahu, Bukit Lata memang kaya dengan sumber mineral semula kurniaan tuhan,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, ketulan batu ko­non­nya mengandungi emas yang dijumpai di Kampung Bukit Lata baru-baru ini rupa-rupanya batu logam biasa yang tidak mempunyai nilai tinggi sebagaimana disangka.

Perkara itu disahkan tukang emas di sekitar pekan ini selepas beberapa penduduk membawa­nya untuk diuji dan ditentukan nilai, sekali gus menyebabkan mereka pulang dengan tangan kosong.

Difahamkan, kebanyakan pen­duduk yang memiliki ketulan batu itu sudah membuang­nya, malah, ada antara mereka mencampaknya ke dalam Sungai Kelantan kerana terlalu hampa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya