Lima buah rumah musnah dalam kebakaran di Mantin

Lima buah rumah musnah dalam kebakaran di Mantin

P. SANTHET melihat rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Rumah Rakyat Mantin, Seremban, hari ini. - FOTO/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lima buah rumah teres di Rumah Rakyat Mantin dekat sini, musnah dalam kejadian kebakaran pagi tadi.

Selain kemusnahan harta benda, kejadian kebakaran kira-kira 11.40 pagi itu turut menyebabkan tujuh ekor haiwan peliharaan seorang wanita, P. Santhet, 54, turut mati. 

Menurutnya, ketika kejadian hanya anaknya sahaja iaitu, J. Viruththteesaran, 20, berada di dalam rumah bersama seekor anjing dan enam kucing peliharaannya.

Bagaimanapun, jelas Santhet, anaknya itu hanya dapat membawa keluar sebuah motosikal ketika api sedang sedang marak.

“Anak saya beritahu ketika kejadian dia sedang berehat di dalam bilik dan tiba-tiba terbau asap dan terus keluar selamatkan diri.

“Dia memang tidak dapat selamatkan kucing dan anjing kami, tetapi saya bersyukur dia selamat dalam kejadian kebakaran ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Tambahnya, hampir semua barang-barang dalam rumahnya musnah dalam kebakaran itu.

Jirannya, N. Vijaya, 52, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu bersama dua orang anak lelakinya.

“Saya terhidu bau asap dan terus keluar dari rumah melihat api sudah marak dan saya terus menyuruh anak keluar dari rumah untuk selamatkan diri. 

“Kejadian berlaku terlalu pantas kami anak beranak tidak dapat selamatkan apa-apa lagipun seorang anak lelaki saya patah kaki,” tambahnya. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Penolong Penguasa Bomba,  Priscilla Carol Thomas berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 11.44 pagi. 

Katanya, seramai 13 anggota Balai Bomba Mantin dengan bantuan Balai Bomba Nilai dikerahkan ke lokasi berkenaan.

“Kebakaran itu membabitkan empat buah rumah musnah 100 peratus manakala sebuah rumah lagi hanya melibatkan kemusnahan 20 peratus.

“Semasa kejadian tiada kecederaan dilaporkan kerana tiga buah rumah tersebut tidak berpenghuni manakala dua buah keluarga yang tinggal di dua buah rumah sempat menyelamatkan diri. 

“Kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 12.49 tengah hari tadi dan punca serta jumlah kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan,” katanya hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya