BAGAN DATUK: Seorang lelaki berusia 68 tahun dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Bernam, Hutan Melintang dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu setelah menerima laporan yang dibuat isteri mangsa pada pukul 2.25 petang.
Katanya, isteri mangsa yang berusia 64 tahun menjumpai barangan peribadi milik suaminya di perhentian bas berhampiran kawasan kejadian.
“Wanita itu memberitahu dia menerima panggilan telefon daripada anak lelakinya pada pukul 11.30 pagi supaya mencari mangsa di lokasi berkenaan.
“Lelaki itu memberitahu ibunya, mangsa ada menghubunginya dan berkata sangat rindu anak-anak dan tidak mahu hidup lagi,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, wanita itu segera mencari suaminya namun hanya menjumpai baju, selipar, basikal dan kad pengenalan lelaki itu di perhentian bas berhampiran Sungai Bernam.
Katanya, menurut isteri mangsa, suaminya tidak menunjukkan sebarang tanda kemurungan atau berkelakuan aneh sebelum kejadian.
“Seorang saksi yang menangkap udang di sungai tersebut juga ada ternampak mangsa berjalan ke dalam sungai yang surut pada pukul 10 pagi.
“Saksi itu memberitahu telah menegur mangsa namun tidak diendahkan sebelum dia pulang ke rumah,” katanya.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki itu di tempat kejadian segera dijalankan pada pukul 3 petang.
“Seramai 20 anggota melibatkan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan dua buah bot digerakkan dalam operasi mencari mangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE