SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori kontena di Kilometer 34, Jalan Besar Ipoh-Kuala Kangsar di sini, malam tadi.
Dalam nahas sekitar pukul 10 malam itu, mangsa, Ho Kang Wei, 21, disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Sungai Siput.
Katanya, setibanya di lokasi nahas, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori kontena.
“Kereta dipandu mangsa hilang kawalan di laluan selekoh. Mangsa yang parah maut di tempat kejadian manakala pemandu lori kontena tidak cedera.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput digerakkan ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan pada pukul 10.07 malam.
“Operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan menggunakan peralatan menyelamat namun lelaki itu disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE