Lelaki baling batu pada kenderaan direman empat hari - Utusan Malaysia

Lelaki baling batu pada kenderaan direman empat hari

ANGGOTA polis membawa lelaki yang disyaki membaling batu pada kenderaan untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Jitra, Kubang Pasu hari ini.  - UTUSAN/ ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan khianat membaling batu pada kenderaan di jejantas Kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di sini,  Isnin lalu ditahan reman empat hari bermula hari ini.

Suspek yang berusia 34 tahun direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Jitra,  Sri Pracha Nanthini Balabedha.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, seorang lelaki yang disyaki membaling batu pada kenderaan di jejantas Kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara pada Ahad lalu ditahan di lokasi tersebut semalam.

Menurutnya, suspek yang berusia 34 tahun itu ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan berada di jejantas tersebut kira-kira pukul 1.45 petang.

Katanya, anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Cawangan Pencegah Jenayah (CPJ) Balai Polis Jitra sebelum itu melihat suspek menunggang motosikal jenis Honda Wave berhenti di atas jejantas tersebut.

“Hasil siasatan mendapati suspek mangaku telah terlibat dalam kejadian membaling batu dan atas jambatan lebuh raya seperti mana laporan polis yang telah dibuat sebelum ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN