KINABATANGAN: Pertumbuhan ekonomi Sabah dijangka terus berkembang menerusi komitmen Kerajaan Persekutuan meneruskan pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi Zon Pantai Timur.
Projek lebuh raya yang bakal memberi limpahan transformasi pembangunan luar bandar itu membabitkan pembinaan jalan sepanjang 58 kilometer (km) merangkumi tiga pakej kerja bernilai RM877 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek itu membantu memperluas jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian serta pusat-pusat komersial di sepanjang jajaran Kinabatangan-Telupid.
Beliau berkata, pembinaan lebuh raya itu membabitkan pakej kerja 28 hingga 30 yang merentasi daerah Kinabatangan, Sandakan, Beluran dan Telupid.
Katanya, ia adalah tambahan kepada 11 pakej kerja yang dimulakan pembinaan seawal 2016.
“Skop pembinaan tiga pakej kerja ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan persekutuan sedia ada dari dua lorong kepada empat lorong dari KM 32 Sandakan ke Sungai Baoto. Ia termasuk pembinaan satu persimpangan bertingkat di Sapi Nangoh dan tiga jambatan di Sungai Monyet, Sungai Muanad dan Sungai Manduring.
“Kerja-kerja pembinaan bermula bulan ini dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun iaitu pada Oktober 2024,” katanya semasa melancarkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, secara keseluruhannya, pembinaan jalan baharu dan naik taraf bagi Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah membabitkan laluan sepanjang 706km yang dibahagikan kepada 35 pakej kerja dan setakat ini, 16 pakej telah dan sedang dilaksanakan.
Projek ini juga membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi di Sabah untuk manfaat rakyat di negeri ini selari dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu ‘Keluarga Malaysia-Makmur,Inklusif dan Mampan’.
Menurut Perdana Menteri, hasil perancangan rapi yang bersifat holistik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri melalui Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP), projek itu bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) bagi membolehkan Sabah mencapai taraf negeri maju.
Beliau turut memberi jaminan pembangunan Sabah tidak terhenti setakat ini kerana kerajaan akan meneruskan pakej-pakej pembangunan dalam memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan demi manfaat rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, projek lebuh raya itu akan membuka ruang penglibatan rakyat tempatan Sabah untuk dilantik sebagai perunding, pembekal mahupun kontraktor dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia di Sabah.
“Tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan anak tempatan Sabah juga dapat dilahirkan dan ia akan memberi sumbangan kepada pembangunan negeri Sabah.
“Hasrat kerajaan persekutuan menerusi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini adalah untuk mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya di Semenanjung,” katanya. – UTUSAN ONLINE