ROMPIN: Negara bakal memasuki tahun 2022, tetapi masalah talian telefon dan internet yang begitu lemah telah berlarutan lebih 30 tahun, malah penduduk di Kota Shahbandar sudah tidak tahu kepada siapa lagi masalah itu harus diadukan.
Sebelum ini, penduduk yang terdiri daripada peladang dan pekerja kampung, sudah kerap kali menyuarakan masalah liputan internet kepada pemimpin setempat tetapi sehingga kini tiada jalan penyelesaian.
Justeru, penduduk di sini sekali lagi menggesa kerajaan negeri dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak-pihak berkenaan membantu mereka mengatasi masalah capaian internet, sekali gus memudahkan anak-anak melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan hal-hal kecemasan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kota Shahbandar, Mohd. Arif Khairul Ahmadi, 31, berkata, boleh dikatakan majoriti penduduk yang mempunyai telefon bimbit menggunakan Digi kerana hanya isyarat itu ada di situ.
“Talian internet memang lemah, kalau di rumah saya langsung tiada internet. Jadi kami penduduk khususnya pelajar menjadikan sebuah bengkel membaiki jentera sebagai port berkumpul setiap hari kerana hanya di situ ada capaian internet, itupun tidaklah terlalu kuat.
“Satu lagi port di ladang Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) di Bukit Kerisik. Lokasi ini emak ayah selalu bawa anak-anak untuk belajar PdPR.
“Masalah ini (talian telefon dan internet) telah lama berlaku lebih 30 tahun dan penduduk merasakan seolah-olah Kota Shahbandar dianaktirikan. Ini kerana kawasan berhampiran yang juga pedalaman seperti Kampung Melati, Kampung Pasal, Bukit Serok ada liputan internet,” katanya di sini semalam.
Mohd. Arif Khairul berkata, penduduk berharap kerajaan dan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi segera mempertingkatkan kemudahan komunikasi dan jalur lebar di kampung itu.
“Begitu juga wakil rakyat setempat. Apabila tiba pilihan raya dan masuk ke sini sering kali tanya apa yang diinginkan penduduk. Tapi apabila menang, masalah kami tidak juga selesai. Terasa seperti cukup terhina kami di sini,” katanya.
Generasi kedua Kota Shahbandar yang juga penyelia ladang di situ, Muhamad Ridzuan Razali, 31, berkata, dia cukup terkilan kerana akibat masalah talian telefon di kampung itu, dia berdepan kesukaran menghubungi pihak berkuasa dan ambulans ketika arwah bapanya meninggal dunia pada Oktober lalu.
“Arwah bapa saya rebah di tepi jalan sewaktu menunggang motosikal. Masa kejadian memang talian telefon langsung tiada. Saya terpaksa bergegas ke ladang berhampiran untuk menghubungi pihak berkuasa. Daripada pukul 7.30 pagi kejadian, pukul 10 pagi baharu kami dapat kebenaran bawa pulang arwah ke rumah setelah dapat menghubungi polis.
“Memang saya cukup terkilan kerana masalah talian telefon, penduduk berdepan kesukaran apabila berlalu musibah seperti kematian,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kota Shahbandar, Mohd. Hafiz Abd. Rahman, 39, berkata, akibat masalah internet, dua tahun anaknya tidak belajar PdPR.
“Anak saya kini darjah empat dan kerana masalah internet, dia tidak dapat ikuti PdPR. Saya pun tidak boleh buat apa-apa kerana tiada talian internet. Hendak bawa masuk ladang pun saya bekerja.
“Jadi, anak ketinggalan dari segi pelajaran kerana tidak dapat ikuti PdPR. Masalah ini saya sudah beberapa kali buat aduan termasuk kepada SKMM, namun ia masih tidak selesai,” katanya. – UTUSAN